Banyak Memberi Tanda Syukur

10:00 PM

 
"Dan Dialah yang telah mengurniakan kepada kamu apa-apa yang kamu hajati. Sekiranya kamu menghitung nikmat Allah pasti kamu tidak dapat menghitungnya satu persatu. Sesungguhnya manusia itu sangat suka meletakkan sesuatu bukan pada tempatnya serta tidak menghargai nikmat Tuhannya." (Surah Ibrahim 14:34)

Kita akan membahaskan mengenai kewajipan bersyukur atas segala kurniaan Allah yang tidak terhitung. Imam Sya'rawi menulis di dalam Mukjizat Al-Quran bahawa lafaz kesyukuran itu sendiri pun diturunkan oleh Allah menerusi firmanNya bagi mengimbangi kurniaan nikmat-nikmatNya yang terlalu banyak.

Apa itu Syukur?
Syukur dari segi bahasa ialah suatu tindak balas yang baik sama ada menerusi perkataan atau perbuatan terhadap kebaikan yang diterima oleh seseorang. Sesuatu kebaikan sering dibalas dengan perkataan dan perbuatan yang baik sebagai menghargai kebaikan yang telah diterima.

Dari segi istilah tasawuf, penulis menukilkan pendapat sebahagian ahli sufi yang menjelaskan takrif syukur

#1 Ibn 'Alan al-Siddiqi
Pengakuan terhadap nikmat yang diterima dan sifat suka membantu. Sesiapa yang bersifat sedemikian maka digelar syakur (orang yag bersyukur)

#2 Al-Junayd al-Baghdadi
Apabila kamu menyedari bahawa kamu bukanlah pemilik kenikmatan yang telah diperoleh sebaliknya ia milik Allah

#3 Al-Syeikh Muhammad 'Abduh
Apabila seseorang menggunakan dan memanfaatkan segala nikmat kurniaan Allah

#4 Ibn 'Ujaibah
Kebahagian hati atas nikmat yang diperoleh. Ia diiringi dengan mengarahkan seluruh anggota tubuh tunduk dan patuh kepadaNya serta mengakui dengan penuh rendah hati terhadap keluasan nikmat yang diterima oleh Allah.

#5 Ibn 'Athaillah
Sesiapa tidak mensyukuri nikmat, maka dia telah menghilangkan nikmat tersebut. Dan sesiapa mensyukurinya, maka dia telah mengikatnya.

Secara kesimpulannya dapat difahami bahawa kesyukuran ialah pengakuan sifat lemah para hamba dalam mengagungkan zatNya yang diiringi oleh perlaksanaan ketaatan padaNya semata-mata yang meliputi zahir dan batin.

Mengapa Mesti Bersyukur?

Syukur maqam yang tinggi meliputi hati, lisan dan anggota badan. Syukur merangkumi sifat sabar, reda, puji-pujian dan dibuktikan dengan amal. Oleh itu, Allah memerintahkan para hambaNya agar sentiasa bersyukur.

"Ingatlah Aku, Aku akan mengingati kamu. Bersyukurlah dan jangan ingkar kepadaKu." Surah al-Baqarah 2:152)

Rasullullah sendiri sentiasa menghidupkan malam dan berdiri di hadapan Allah dengan khusyuk semata-mata untuk menyatakan kesyukuran Baginda kepadaNya. Apabila ditanya, Baginda menjawab: "Adakah aku tidak boleh menjadi hamba yang bersyukur?" (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Baginda mewasiatkan kepada Muaz Ibn Jabal: "Aku wasiatkan kepadamu wahai Muaz, agar engkau sekali-kali tidak lupa mengucapkan setiap selesai solat: "Ya Allah, tolonglah aku supaya tetap ingat kepadaMu, bersyukur kepadaMu dan beribadah dengan baik kepadaMu." (Riwayat Abu Daud)

Al-Junayd dan Seorang Pemuda
Ketika seorang pemuda yang ditimpa penyakit yang parah berkesempatan bertemu dengan al-Junayd, pemuda itu memohon doa untuknya agar penyakitnya itu sembuh. Lalu al-Junayd menasihatinya: "Wahai saudara! Ketahuilah, kesabaran ketika sakit bukti kamu bersyukur sewaktu sihat"

Subhanallah! Betapa kesyukuran itu mesti diungkapkan dalam apa-apa jua keadaan sekalipun kerana nikmat kurniaan Allah kepada kita terlalu banyak dan tidak akan mampu dihitung. Bersyukurlah, kita akan dikurniakan kurniaan yang lebih banyak

Oleh Ustaz Rashidy Jamil Al-Rashid - Solusi

You Might Also Like

1 comments

  1. "Wahai saudara! Ketahuilah, kesabaran ketika sakit bukti kamu bersyukur sewaktu sihat"

    Suka quote ni.

    Tq for sharing!

    ReplyDelete

Terima kasih sudi baca tulisan Eina & terima kasih atas komen anda :)