Thursday, 25 July 2013

Puasa itu Menyihatkan



Puasa sering dikaitkan dengan kesihatan seseorang muslim kerana sifat ibadah ini yang memerlukan individu yang sihat untuk melaksanakannya. Walaubagaimanapun, individu yang berpenyakit dan masih mampu untuk menunaikannya tanpa memudaratkan kesihatan, juga wajar berpuasa. Apatah lagi mereka yang tiada berhalangan dari segi syarak. Umumnya, tuntutan berpuasa ini bukan sahaja melahirkan individu muslim yang bertakwa malah menyihatkan juga.

“Wahai orang-orang yang beriman, diwajibkan atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan keatas orang sebelum kamu, mudah-mudahan kamu bertakwa” (Al-Baqarah: 183)

Secara jelas ayat ini, Allah menyeru orang yang beriman untuk melaksanakan tuntutan berpuasa sebagaimana wajibnya berpuasa itu berlaku keatas golongan muslim terdahulu. Ayat ini juga khusus menekankan bahawa objektif akhir berpuasa ialah melahirkan sifat takwa kepada Allah SWT. Timbul persoalan kenapakah tiadanya ‘janji’ dari ayat ini akan kebaikan fizikal dari latihan berpuasa? Bagaimana mungkin berpuasa itu memberi manfaat kesihatan kepada pengamalnya? Persoalan ini terjawab bila kita memahami fitrah puasa itu bermula dari tuntutan ketaatan sebagai muslim yang beriman. Ini kerana belum tentu orang yang sihat mampu berpuasa. Begitu juga orang dewasa. Sedangkan kanak-kanak yang tidak diwajibkan berpuasa, kadang-kadang lebih mampu melaksanakan ibadah ini.

Puasa adalah salah satu latihan nafsu atau ‘tazkiyatun nafs’ berarti penyucian jiwa atau nafsu. Latihan nafsu ini melalui tuntutan menyekat keperluan makan dan minum secara fizikal. Bila kita telusuri maksud at-tazkiyah ini, ianya tidak hanya bermakna penyucian. At-tazkiyah juga memiliki makna ‘an-numuww’, iaitu tumbuh. Maksudnya, tazkiyatun nafs itu juga berarti menumbuhkan jiwa agar seseorang itu boleh tumbuh sihat dengan memiliki sifat-sifat yang baik dan terpuji. Bila jiwa dan akhlak dilatih melalui puasa, sedikit sebanyak akan mempengaruhi perkembangan fisiologi dan fizikal individu tersebut. Apatah lagi segenap bentuk minuman dan makanan yang kita ambil lansung memberi kesan pembentukan jiwa dan fizikal individu.

Berkenaan puasa ini juga, Rasulullah saw bersabda,
 “Barangsiapa yang selama berpuasa tidak mampu menahan diri dari perkataan dan perbuatan yang buruk serta keji, maka Allah sama sekali tidak butuh dia meninggalkan makan dan minumnya.”
(HR Al-Bukhari).

Beginilah hakikat puasa, yang tidak lain adalah menahan nafsu dalam rangka untuk menyucikan nafsu dan membangun akhlak. Puasa dengan menahan lapar dan dahaga serta mengekang hawa nafsu selama lebih dari 12 jam sehari tentulah sangat memenatkan mental dan fizikal individu. Namun, jika ibadah ini dilaksanakan bermula dengan bersahur secukupnya hingga berbuka puasa, tentu sekali manfaatnya menjangkaui pembentukan iman, malah kesan keatas kesehatan jiwa dan tubuh badan. Tidak dinafikan puasa itu memberikan manfaat yang berkesan  bagi kesihatan tubuh. Malah ada di beberapa negara maju menjadikan puasa sebagai terapi terhadap beberapa penyakit fizikal.

Orang berpuasa akan mengalami perubahan bentuk tubuh, akibat kurang makan dan minum seharian dan sepanjang bulan ramadhan. Kurangnya pengambilan sumber tenaga pada orang berpuasa menyebabkan fisiologi tubuh ‘bertindak’ mencari sumber tenaga yang tersimpan di dalamnya. Sumber tenaga datangnya dari karbohidrat dan lemak yang bertukar sifatnya kepada glukos. Sewaktu berpuasa, kadar glukos darah berkurang akibat kurangnya makanan, sebaliknya hanya bergantung dari makanan sewaktu bersahur. Dan untuk mengatasi masalah ini, fungsi ini diambil alih oleh tindakan ‘autolysis’ atau ‘pembakaran lemak’ secara semulajadi. Autolysis bermaksud terpakainya simpanan lemak tubuh untuk dijadikan sumber tenaga tubuh, yang bertukar kepada glukos. Lemak disimpan didalam hati, dibawah kulit dan di otot-otot badan. Penggunaan lemak ini penting untuk memastikan sel-sel dan organ tubuh akan terus berfungsi dengan baik walaupun tanpa sumber makanan sewaktu berpuasa. 

Walaubagaimanapun, individu berpuasa dinasihatkan supaya tidak melakukan aktiviti latihan dan lasak terutamanya diwaktu tengahari atau petang. Ini kerana aktiviti sedemikian memerlukan penggunaan tenaga iaitu glukos pada kadar yang cepat dan banyak.
Secara umumnya, hubungan puasa dan kesihatan sebenarnya tidak asing lagi pada individu muslim. Mengenai pengambilan makanan pada umumnya, atau puasa pada khususnya, terdapat ketentuan tegas dan jelas. Allah SWT memberikan pedoman kepada kita bagaimana kaedah terbaik mengambil makanan:

“Wahai manusia! Makanlah dari (makanan) yang halal dan baik yang terdapat di bumi, dan janganlah  kamu menuruti langkah-langkah syaitan. Sungguh syaitan itu mush kamu yang nyata” (Al-Baqarah: 168)

“Wahai anak cucu Adam, pakailah pakaian yang bagus pada setiap (memasuki) masjid, Dan makan dan minumlah, dan janganlah berlebih-lebihan. Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang yang berlebih-lebihan” (Al-A’raf: 31).

Mudah-mudahan puasa kita pada tahun ini bukan sekadar lapar dan dahaga, malah tuntutan takwa itu sebagai ‘ouput’ yang terbesar yang perlu kita perolehi. Susulan dari itu, manfaat kesihatan, juga akan kita kecapi, insya’allah. Selamat menyambut Ramadhan Al-Mubarak.

Credit:-

Dr Azizi Ayob
Pengerusi,
Ikatan Pengamal Perubatan Muslim Malaysia, I-Medik,
Selangor/Wilayah Persekutuan



Eina Md Ali
~ Shaklee Independent Distributor (ID - 892529)
~ FB Pages : Vitamin Kesihatan Sejagat
~ SMS/Whatsapp : 019 227 5759
~ Email: inna.mdali@gmail.com


No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...